TASEK GELUGOR – Usul Parti Amanah Negara (Amanah) Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya akan diputuskan oleh kepimpinan pusat.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebarang cadangan boleh dikemukakan oleh sayap negeri, Pemuda atau Wanita, namun keputusan muktamad tetap pada pimpinan tertinggi di peringkat nasional.
“Pimpinan negeri atau mana-mana sayap boleh bawa apa-apa usul atau pandangan. Itu perkara biasa dalam sesebuah parti.
“Namun, keputusan akhir berhubung agihan kerusi atau strategi pilihan raya akan ditentukan oleh kepimpinan pusat,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas cadangan Amanah Johor untuk meletakkan calon di kesemua kerusi DUN sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN negeri itu.
Semalam, Amanah Johor dalam konvensyen parti itu mengangkat tiga usul utama dalam mesyuarat perwakilan bahagian termasuk cadangan berhubung pertandingan tiga penjuru, isu air serta perlantikan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata, usul pertama menyentuh soal kedudukan PH di Johor yang dicadangkan untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru.
Katanya, Barisan Nasional (BN) dikhabarkan tidak selesa sekiranya tiada tiga penjuru namun perkara berkenaan hanya boleh dibahas dan dicadangkan tetapi keputusan muktamad tetap ditentukan Majlis Presiden.
Pada Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi BN Johor menegaskan PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan. – MalaysiaGazette
















