KUALA LUMPUR – Doktor kepada keluarga bayi yang meninggal dunia dalam kemalangan ngeri membabitkan lori dan beberapa kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang semalam, berharap siasatan terperinci dapat dijalankan dan tindakan yang adil serta tegas diambil terhadap pihak yang bersalah dalam kejadian itu.
Apatah lagi, kata Dr. Murizah Mohd Zain, beliau difahamkan pemandu yang terlibat dalam kejadian itu mempunyai rekod lampau.
“Sampai bila pemandu yang ada rekod buruk, dibiarkan mengemudi jalan raya di Malaysia. Harga satu nyawa terlalu mahal untuk dibeli,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Dr. Murizah berkata, beliau tidak dapat menggambarkan kesedihan yang terpaksa dilalui ibu bayi berkenaan yang juga pesakitnya, Nurul Husna Khairuddin yang kehilangan salah seorang anak kembarnya akibat kejadian itu.
Apatah lagi, jelasnya, ketika bayi berkenaan sudah boleh bercakap serta bermain-main dengan pasangan kembarnya.
“Saya masih ingat lagi betapa gembiranya Husna saat berjaya dalam ivf. Embryo husna split jadi 1 embryo terbahagi 2 menjadikan bayi yang dikandung kembar seiras.
“Husna sangat kuat, berulang alik antara Kuala Lumpur dan Alor setar, untuk rawatan.
“Nyawa melayang dengan sekelip mata. Anak yang Husna tunggu selama lebih 12 tahun, pergi dalam sekelip mata.
“Semalam dia berlari, tertawa, hari ini semua itu hanya memori. Tiada lagi kawan pada si kembar seiras ini.
“Semoga Husna dan suami, Encik Amirul diberikan ketenangan dan kekuatan jiwa serta ditingkatkan darjat di sisi Allah swt,” katanya.
Dalam kejadian di Plaza Tol Bukit Kajang semalam, seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori yang dipercayai mengalami masalah brek.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pemandu lori berusia 42 tahun direman selama dua hari dan siasatan awal mendapati, suspek memiliki dua rekod jenayah lampau, satu rekod kesalahan dadah dan mempunyai empat saman trafik. – MalaysiaGazette

















Menteri Pengangkutan lembab! Berapa banyak nyawa dah melayang disebabkan lori.. tapi tak de tindakan konkrit.. sembang jaaa.. dan yg kedua ialah Menteri Hal Ehwal Undang2.. lembab! apa lah yg diharapkan dgn menteri ni? Penjenayah yg bunuh org secara zalim pun dia boleh bagi makan free dgn kos penjara ditanggung oleh duit pembayar cukai apabila dihapuskan hukuman gantung mandatori.. bagi dia nyawa pembunuh lebih utama dari nyawa mangsa bunuh.. jd apalah nak diharapkan kpd Azalina ni dlm menghukum driver lori yg berulang2 kali terlibat membunuh org… bagi dia nyawa mangsa tak penting.. yg penting driver lori..
patutnya pmx dah lama pecat menteri pengangkutan ini, tak bekerja dalam kerajaan.