Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan menggerakkan pasukan Pemantau Pilihan Raya (Pemantau) bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Menurut Bersih, misi utama pasukan pemantauan adalah untuk memastikan hak pengundi dihormati dan PRN dijalankan secara bersih, bebas serta adil.

“Ianya perlu bebas daripada sebarang salah laku pilihan raya dan pembelian undi bagi menterjemah kehendak sebenar orang Sabah dalam keputusan PRN kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bersih turut mengambil maklum mengenai siri video yang mendedahkan beberapa pemimpin yang juga anggota Kabinet Sabah didakwa menerima sogokan.

“Pendedahan ini mungkin hanya permulaan bagaimana duit-duit kotor berlegar dan digunakan sebagai dana politik,” tegas gabungan itu.

Menurut Bersih, pasukan Pemantau kali ini akan menumpukan pemantauan terhadap kesalahan politik wang, sama ada sebelum atau semasa kempen berlangsung.

Justeru itu, Bersih menegaskan bahawa pengundi perlu menolak sebarang bentuk rasuah pilihan raya.

“Rakyat Sabah mesti menolak 100 peratus unsur politik wang daripada calon atau parti mana sekali pun. Duit ambil undi mesti ditolak sepenuhnya kerana ia hanya menggalakkan parti mencari dana haram untuk dibelanjakan,” kata Bersih.

Sebanyak 100 orang pemantau akan digerakkan di 30 daripada 73 DUN di Sabah, termasuk kawasan yang sering berlaku lompat parti, wakil rakyat terpalit rasuah, kerusi marginal dan kawasan Ketua Menteri.

Pemantauan akan dijalankan secara fizikal dan dalam talian, selain bengkel di beberapa daerah untuk mendidik rakyat tentang peranan mereka.

Dalam perkembagan sama, Bersih turut menggesa semua media termasuk saluran rasmi kerajaan negeri dan persekutuan agar memberi ruang siaran yang sama rata kepada semua calon dan parti bagi mewujudkan padang persaingan adil.

Gabungan itu menyeru sokongan rakyat Sabah bagi memastikan PRN kali ini benar-benar dipantau.

“Hanya dengan kuasa rakyat, pilihan raya di negeri di bawah bayu ini dapat berjalan dengan bersih, bebas dan adil. Kita mesti menolak politik wang dan politik kotor,” ujarnya.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal bagi memberi laluan kepada PRN17. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast