MELAKA – Seorang doktor dari Melaka membuat laporan polis selepas mendakwa diancam oleh sekumpulan peminta sedekah yang dipercayai warga asing di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), selepas plaza tol Sungai Besi.
China Press melaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang pada 25 September lalu.
Dr. Yee Kok Wah berkata, seorang lelaki berbadan sasa, dipercayai warga asing berusia 40-an, datang meminta sedekah menggunakan pelbagai alasan seperti dompet dicuri dan perlu membeli makanan untuk anak serta isteri.
Dr. Kok Wah bagaimanapun tidak melayan permintaan itu. Sebaliknya, beliau cuba merakamkan gambar kereta yang dinaiki peminta sedekah berkenaan sebelum ke tandas.
Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit berang dan mula mempertikaikan Dr. Kok Wah kerana merakamkan gambar isterinya yang berada di dalam kereta.
Lelaki itu kemudian menggunakan keretanya untuk menghalang kenderaan yang dipandu oleh doktor tersebut.
Bimbang dengan keselamatan diri, Dr. Kok Wah segera memandu ke sebuah stesen minyak berhampiran. Di situ, beliau dimaklumkan bahawa kumpulan peminta sedekah itu memang sering kelihatan di stesen minyak R&R.
Dr. Kok Wah meninggalkan kawasan tersebut kira-kira 15 minit kemudian, namun mendapati dirinya diekori sehingga ke R&R Seremban.
Walaupun tiada gangguan berlaku semasa di R&R Seremban, Dr. Kok Wah memutuskan untuk membuat laporan polis di Melaka.
Katanya, laporan polis itu dibuat kerana beliau bimbang kejadian tersebut akan diputarbelitkan yang akhirnya akan menyebabkan beliau dituduh sebagai pembuli.
















