JOHOR BAHRU – Wakil rakyat tidak wajar mengambil kesempatan dengan bantuan kerajaan pusat kepada rakyat apabila menonjolkan seolah-olah itu merupakan sumbangan peribadinya.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berpendapat, cara itu tidak sesuai sehingga menenggelamkan usaha kerajaan dalam membantu rakyat.
“Bantuan kepada rakyat datang daripada peruntukan kerajaan. Jadi, sebarang elemen yang boleh menimbulkan persepsi seolah-olah ia sumbangan peribadi perlu dielakkan.
“Kita tidak mahu mesej bantuan yang sepatutnya menonjol tenggelam dalam imej promosi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas berkenaan Majlis Penyampaian Bantuan Kasih Johor Peserta Program Perumahan Rakyat (PPR) di Dewan PPR Melana 2 di sini semalam.
Dalam majlis itu, penerima dan orang ramai memegang plakard ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang merupakan wakil rakyat daripada UMNO.
Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, sudah memadai jika pihak penganjur memaparkan poster rasmi di pentas tanpa perlu berbuat demikian.
Sementara itu, beberapa penerima juga mengakui berasa janggal apabila diminta bergambar bersama-sama plakad berkenaan.
Seorang penerima yang enggan dikenali berkata, sepatutnya mesej kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah perlu ditonjolkan dan diutamakan.
“Itu yang patut diketengahkan. Jangan sampai bantuan yang disalurkan dilihat sebagai pentas untuk mengangkat nama individu,” katanya.
Seorang lagi penerima berkata, dia menaruh harapan agar setiap inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan keikhlasan.
“Jangan campur adukkan dengan benda (elemen) yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya. – MalaysiaGazette
















