SEPANG – Sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) akan memasuki zon kuning menghampiri Gaza menjelang malam ini pada jam 9.18 malam waktu Malaysia.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Comand Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, keseluruhan delegasi GSF dijangka tiba di Gaza seawal Khamis ini, jika tiada kapal yang dipintas rejim Zionis.
“Ketika ini pelayaran kapal GSF masih berbaki 21 batu nautika atau kira-kira empat jam sebelum memasuki zon kuning untuk malam ini.
“Perjalanan mereka juga masih berbaki sekitar 366 batu nautika dari persisiran Gaza, selain taiada laporan aktiviti dron rejim Zionis yang direkodkan.
“SNCC menjangkakan jarak pelayaran dari zon kuning ke merah dapat diselesaikan dalam tempoh empat hari, namun bergantung kepada cuaca, angin dan lain-lain,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sani Araby memaklumkan SNCC menjangkakan misi tersebut berdepan kelewatan empat hari dari zon merah ke Gaza pada Khamis, 2 Oktober ini.
Mengulas mengenai persiapan selepas delegasi GSF memasuki zon kuning, beliau berkata, pasukan pengaman dari Itali dan Sepanyol belum menyuarakan hasrat untuk berundur daripada memantau keselamatan misi kemanusian itu.
“Kumpulan delegasi GSF masih optimis untuk sampai ke pesisir pantai Gaza mengikut tempoh yang disasarkan dan kita jangka tiada aktiviti pintasan kapal akan berlaku di zon kuning.
“Ini memandangkan ia perairan antarabangsa terakhir sebelum memasuki zon merah yang memang memiliki profil dan paten pintasan daripada rejim Zionis.
“Bagaimanapun, kawasan ini adalah kawasan berhati-hati dan kritikal. Kita sentiasa memerhati dan mengikuti perkembangan terkini dan setakat ini tiada sebarang gangguan,” ujarnya – MalaysiaGazette
















