Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengaitkan kematian seorang bayi dalam kemalangan dengan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dianggap tidak sensitif dan memalukan.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff mendakwa, kenyataan Anthony itu menunjukkan sikap kurang empati terhadap keluarga mangsa yang sedang berduka.

“Anak mereka baru meninggal dunia, mesti mereka tengah sedih, boleh pula Menteri DAP ni cari salah ibu bapa bayi tu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Loke dalam kenyataan hari ini berkata,  beliau sedia dikecam  pelbagai pihak selepas mendedahkan bayi lelaki yang meninggal dunia itu tidak diletakkan dalam kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) menjadi punca utama mangsa berusia setahun tercampak keluar dalam nahas ngeri di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu.

Nurul Islam berkata, walaupun penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak adalah penting, namun Loke perlu memahami perbezaan antara punca kemalangan dan sebab kematian.

“Tak guna kerusi bayi bukanlah punca kemalangan ni berlaku. Rakyat nak tahu kenapa lori tu gagal berhenti?

“Kenapa pemandu tu meloncat selamatkan diri dan biar lori melanggar kenderaan lain? Rakyat nak tahu segala ketidakpatuhan lori tu dalam proses maintenance (penyelenggaraan) dan pemeriksaan berjadual,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan janji Loke sebelum ini untuk memecahkan monopoli Puspakom bagi meningkatkan kualiti pemeriksaan kenderaan, namun keadaan dilihat semakin merosot.

“Masih ada lori atau bas yang terlibat kemalangan sebab brek gagal berfungsi, ada yang tayar celup dia pecah dan kena kenderaan lain sampai kemalangan. Kau kena jawab macam mana walaupun selepas kau pecahkan monopoli Puspakom, benda ni masih berlaku?” katanya.

Nurul Islam mendakwa, masih wujud sindiket yang menyewakan peralatan termasuk tayar kepada pemilik kenderaan berat semata-mata untuk lulus pemeriksaan, sedangkan selepas itu mereka kembali menggunakan tayar celup atau tidak selamat.

“Selain itu kau sebagai menteri perlu segera bentangkan cadangan untuk tambah baik keselamatan jalan raya,” tegasnya sambil mengemukakan lima cadangan termasuk standard pemeriksaan lebih ketat, penguatkuasaan terhadap sindiket, kawalan jadual kerja pemandu, latihan kecemasan serta saringan ketat terhadap pemandu lori dan bas.

Katanya lagi, isu kerusi keselamatan kanak-kanak tidak boleh dijadikan alasan untuk mengalih perhatian daripada tanggungjawab lebih besar kementerian terhadap keselamatan jalan raya.

Pada 27 September lalu, seorang bayi lelaki maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Undang² dah menetapkan sedemikian..jgn lah mencari kesalahan yg telah diwartakan..Rata² perhatian memang mereka sentiasa tidak berpuashati..sama perbuatan ahli² mereka yg menunggang motosikal tidak memakai topi keledar tapi berserban dan berkopiah sahaja sedangkan undang² mewajibkan. Sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas keatas mereka yg masih suka menggunakan undang² RIMBA.

Comments are closed.