Ketua AMK Johor
Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad mendakwa kini Kempen Turun Muhyiddin dan Turun Azmin mula mendapat sambutan selepas Kempen Turun Anwar gagal.

Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat ( PKR) Cabang Pulai berkata, Kempen Turun Anwar sudah semakin mulai suram dan tiada lagi sambutan.

Faezuddin berkata, ini susulan drama perbalahan antara pasukan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasukan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berlaku sebelum ini.

“Terbaru rakyat disajikan dengan pertelingkahan pasukan (Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali dan pasukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula.

“Bayangkan, berapa banyak perpecahan yang sedang berlaku dalam Bersatu. Daripada tampil sebagai pembangkang yang konstruktif, pemimpin Bersatu memilih untuk saling menuduh dan menjatuhkan antara satu sama lain.

“Inilah wajah sebenar politik sempit yang langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebagai pembangkang, sepatutnya Bersatu memainkan peranan sebagai semak dan imbang, memberi idea yang lebih bernas serta menampilkan alternatif dasar kepada kerajaan.

Tetapi malangnya ujar beliau, apa yang dilihat hari ini pembangkang tiada idea, tiada hala tuju jelas dan tiada alternatif, apa yang ada hanyalah drama politik dalaman tanpa noktah.

“Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani bertungkus lumus memperkukuh ekonomi rakyat, memperluas bantuan kebajikan kepada rakyat dan menstabilkan politik negara, Bersatu pula sibuk mencipta episod baharu dalam siri perebutan kuasa,” tambahnya.

Semalam Wan Saiful didakwa antara yang terlibat dalam pengumpulan akuan bersumpah (SD) melibatkan ketua-ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Hamzah.

Namun Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menegaskan, SD yang dikumpulkan membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan untuk mendesak Muhyiddin berundur sebagai presiden.

Sebaliknya kata Wan Saiful, dokumen berkenaan hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin menyusun pelan peralihan parti.

Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast