JOHOR BAHRU – Angkatan Wanita Amanah (Awan) Johor sedia menampilkan calon mereka bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketuanya, Norhayati Bidin berkata, tawaran tersebut susulan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kini sudah tidak lagi berada dalam kerajaan Perpaduan.
Perkembangan tersebut jelasnya, akan membuka ruang perundingan baharu dalam Pakatan Harapan (PH).
“Awan Johor telah lama membuat persediaan rapi daripada pengukuhan jentera di peringkat akar umbi hingga ke pembinaan dasar dan agenda masyarakat bagi memastikan kerusi tersebut terus kekal di bawah pentadbiran kerajaan yang progresif dan inklusif.
“Kami yakin proses rundingan kerusi dalam PH akan berlangsung secara harmoni dan penuh persefahaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Awan Johor sedia menampilkan calon berwibawa serta kepimpinan yang berorientasikan rakyat, khususnya untuk menangani pelbagai isu masyarakat yang berbangkit di kawasan Puteri Wangsa.
Awan Johor katanya, menekankan komitmen untuk memperbetulkan segala kelemahan kepimpinan terdahulu.
Menurutnya, ini termasuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, mendekati belia, memperkukuh jaringan komuniti setempat dan memberi tumpuan kepada isu-isu wanita, keluarga muda serta kesejahteraan ekonomi penduduk setempat.
Sebagai sayap wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Norhayati percaya kepimpinan wanita bukan sahaja melengkapkan kepelbagaian politik tetapi membawa pendekatan yang lebih empati, telus dan berkesan dalam menyelesai cabaran rakyat.
Pada PRN Johor bagi DUN Puteri Wangsa, MUDA menerusi Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz menang dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Amira Aisya yang ketika itu merupakan Setiausaha parti itu, menewaskan Ng Yew Aik daripada Barisan Nasional (BN), Dr Khairil Anwar Razali (Parti Pejuang Tanah Air), Loh Kah Yong (Perikatan Nasional), Steven Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia) dan Adzrin Adam (Bebas).
MUDA ketika itu menang kerusi tersebut atas sokongan PH meskipun tidak menyertai gabungan politik berkenaan ketika itu, namun bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya (electoral pact) menghadapi PRN Johor.
MUDA kemudian menyertai kerajaan Perpaduan sebelum mengumumkan keluar daripada kerajaan pimpinan PH pada 2023 sebagai tanda protes terhadap tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuahnya.- MalaysiaGazette
















