KUALA LUMPUR – Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan paling tegas terhadap syarikat-syarikat pengangkutan yang terlibat dalam nahas khususnya kemalangan maut.
Beliau mendakwa, sepanjang pemerhatiannya termasuk sejak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) ditubuhkan, belum pernah pendakwaan di mahkamah dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis terhadap pengendali syarikat pengangkutan setiap kali nahas kenderaan berat berlaku dan merekodkan kematian serta kecederaan.
Beliau menjadikan dua kemalangan ngeri sebagai contoh iaitu nahas maut yang melibatkan jumlah korban yang besar membabitkan bas henti-henti di KM3.6 Jalan Genting Highlands- Kuala Lumpur serta kemalangan bas yang dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, empat bulan lalu.
Shahrim mendakwa setakat ini, kedua-dua operator atau pengarah syarikat bas berkenaan masih belum dihadapkan ke mahkamah.
ARTIKEL BERKAITAN
Menurutnya, sejak 2008 beliau kerap bertanyakan kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), SPAD, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan JPJ mengenai rekod mahkamah untuk kes pertuduhan nahas jalan raya terhadap operator, syarikat pengendali logistik, syarikat bas ekspres atau pengarah syarikat pengangkutan kenderaan komersil akibat disyaki unsur-unsur lalai dari segi operasi atau keadaan kenderaan tidak memuaskan.
Beliau juga katanya, telah mencari dokumen mahkamah serta memohon pengesahan dari pihak berkuasa namun sehingga kini tiada pengendali rel dan pengangkutan jalan raya telah diheret ke mahkamah semasa era SPAD dan LPKP sebelum ia dibubarkan.
“Sepanjang pengetahuan saya, menurut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan di dalam peraturan permit berserta kod keselamatan iCOP SHE, syarikat pengangkutan boleh dikenakan tindakan mahkamah kerana kecuaian atau kegagalan mematuhi garis panduan keselamatan.
“Namun, saya dimaklumkan oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan bahawa usaha pendakwaan terhadap syarikat adalah sukar kerana proses pendakwaan rumit akibat tiada dapatan jelas serta ketiadaan pertuduhan khusus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tegasnya, sekarang adalah masa yang tepat untuk pihak berkuasa mengheret operator pengangkutan yang degil dan cuai ke mahkamah. -MalaysiaGazette
















