Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Filipina esok dalam misi bantuan kemanusiaan susulan kejadian gempa bumi kuat yang melanda Kepulauan Cebu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 77 anggota yang dilengkapi dengan peralatan Mencari dan Menyelamat di Kawasan Bandar (USAR), sistem komunikasi, perubatan kecemasan, K9 Unit serta kenderaan logistik dijangka bertolak ke negara berkenaan jam 9 pagi.

Beliau berkata, pergerakan segera itu merupakan simbol solidariti serantau dalam kalangan negara ASEAN, selari dengan komitmen Malaysia untuk membantu negara jiran yang terkesan dengan bencana.

“Langkah ini dapat menzahirkan komitmen Malaysia terhadap solidariti serantau ASEAN serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat digerakkan segera demi menyelamatkan nyawa dan memulihkan kehidupan mangsa bencana di negara tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pulau Cebu dilanda gempa bumi berukuran 6.9 magnitud pada jam 9.59 malam waktu tempatan semalam, mengakibatkan kehilangan nyawa dan perpindahan ratusan keluarga.

Difahamkan, ratusan gegaran susulan turut direkodkan sepanjang malam.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat mengajak rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan dan ketabahan rakyat Filipina dalam menghadapi ujian besar ini.

“Semoga setiap usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan, setiap mangsa yang terjejas mendapat pembelaan dan negara Filipina kembali pulih serta membina semula kehidupan rakyatnya yang terjejas akibat gempa bumi ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast