Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA tidak bersetuju dengan keputusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melanjutkan tempoh pembayaran saman trafik pada kadar rata RM150.

Naib Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, keputusan itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan jalan raya malah turut menghakis keyakinan awam terhadap sistem penguatkuasaan pengangkutan.

Katanya, ia juga tidak menggalakkan pemandu untuk memperbaiki tingkah laku mereka.

“Dengan 1.9 juta saman masih belum dibayar, termasuk lebih 1.4 juta saman kesalahan memandu laju, jelas inisiatif ini tidak mencapai hasil yang diharapkan.

“Sebaliknya, ramai pemandu kelihatan tidak peduli, tidak menunjukkan sebarang keutamaan untuk melunaskan saman tertunggak atau memperbaiki tingkah laku pemanduan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mike, sebagai pembuat dasar utama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mesti bertanggungjawab terhadap kesan sampingan daripada keputusan tersebut.

Jelasnya, kompaun kadar rata dengan potongan sehingga 50 peratus daripada saman asal dan lanjutan tempoh mungkin memenangi hati orang ramai, tetapi ia tidak seharusnya mengorbankan keselamatan jalan raya dan penghormatan terhadap undang-undang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah bagi memulihkan integriti sistem dan menggalakkan pemanduan berhemah.

Antaranya, tidak memberikan lanjutan tempoh diskaun yang mana saman yang tidak dibayar perlu kembali kepada kadar penuh dengan penguatkuasaan senarai hitam dan mata demerit.

Selain itu, JPJ perlu mewujudkan satu sistem bagi menghalang pesalah berulang daripada memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu.

Beliau turut mencadangkan agar sistem penalti bertingkat diperkenalkan selain bekerjasama dengan pihak insurans supaya kesalahan trafik terkait dalam kos polisi.

Beliau juga mencadangkan penguatkuasaan di lapangan diperkukuh dengan menyambung semula operasi jalan raya dan menggunakan alat digital untuk mengesan serta menghukum pesalah secara masa nyata. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast