Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dalam sidang media di hadapan Menara KPJ Jalan Tun Razak, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa mempercepatkan siasatan serta segera mendakwa dalang skim pelaburan pertukaran wang asing (Forex) yang dipercayai menyebabkan kerugian hampir RM140 juta melibatkan ratusan mangsa di seluruh negara.

Setiausahanya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya hari ini telah menyerahkan surat rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan perkembangan terkini siasatan, selain menyenaraikan beberapa individu yang sedia menjadi saksi utama bagi membantu siasatan.

“Serahan surat ini dibuat bagi mendapatkan makluman lanjut berkaitan perkembangan siasatan yang telah berjalan hampir dua tahun.

“Kami juga mengemukakan nama-nama saksi termasuk bekas kakitangan pentadbiran dan pemasaran skim ini yang sanggup tampil sebagai whistleblower serta menyerahkan bukti komunikasi dan transaksi kewangan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, skim berkenaan didalangi oleh tiga individu utama iaitu seorang lelaki warga tempatan, seorang warga Rusia dan seorang warga Indonesia yang dipercayai mengendalikannya melalui beberapa syarikat berdaftar di Labuan, syarikat broker di Indonesia serta rangkaian pemasaran di Malaysia.

Helah turut berubah apabila pelaburan asal berkonsepkan Forex kemudian ditukar kepada kripto tanpa persetujuan pelabur, sekali gus menambah beban kepada mangsa.

Skim itu mula menarik pelabur sejak 2018, namun masalah besar timbul pada 2021 dan 2022 apabila bayaran imbuhan yang dijanjikan dihentikan, menyebabkan ramai mangsa tidak lagi menerima pulangan.

Beliau menjelaskan, sehingga kini sebanyak 49 laporan telah dikemukakan melalui MHO, manakala jumlah keseluruhan mangsa yang dikenal pasti di seluruh negara mencecah hampir 495 orang.

Bagi memperkukuh siasatan, katanya, MHO turut menampilkan dua bekas kakitangan pentadbiran dan pemasaran skim tersebut yang tampil sebagai whistleblower.

“Kedua-duanya bukan sahaja bersedia memberi keterangan, malah menyerahkan bukti penting seperti komunikasi WhatsApp, rekod transaksi kewangan serta rakaman mesyuarat dalam talian bersama dalang utama.

“Inilah bukti kukuh yang boleh mengaitkan terus pihak yang bertanggungjawab. Apa yang kami tuntut hanyalah pendakwaan segera, bukan siasatan yang berlanjutan tanpa kesudahan,” jelasnya.

Hishamuddin menegaskan, kes ini wajar dilihat lebih serius kerana ia bukan sekadar penipuan individu semata-mata, sebaliknya melibatkan operasi rangkaian terancang.

Oleh itu, selain siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, beliau mahu kes ini turut diperluas di bawah Seksyen 130V dan 130W yang memperuntukkan tindakan terhadap ahli dan pihak yang membantu kumpulan jenayah terancang.

“Dengan adanya saksi dari dalam sindiket, sudah sampai masanya siasatan diperluas bagi memastikan dalang sebenar dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana majoriti mangsa telah membuat laporan polis sejak pertengahan 2024, namun sehingga kini masih belum ada tindakan jelas atau tangkapan besar dilakukan.

“Ramai mangsa berasakan hak mereka dinafikan kerana proses siasatan terlalu perlahan.

“Hari ini mereka hadir bukan untuk menekan, tetapi untuk merayu agar siasatan dipercepatkan dan kes ini segera dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan.

“Mangsa masih menaruh keyakinan penuh kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan berharap tindakan susulan dapat diambil segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast