SEPANG – Seramai 12 rakyat Malaysia yang merupakan antara 201 daripada 497 orang peserta flotila dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan di atas kapal oleh tentera rejim Israel setakat ini.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby bagaimanapun memberitahu, delegasi Malaysia yang berada di kapal Mikeno dan Inana tidak dapat dihubungi sejak serangan itu adalah Ardell Aryana dan Razali Awang.
Menurut beliau, sembilan delegasi Malaysia berada di kapal Free Willy, Fair Lady dan Estrella belum dipintas dan sedang meneruskan pelayaran ke Gaza.
“Setakat pukul 10.44 pagi waktu Malaysia, sejumlah 14 kapal flotila telah dipintas melibatkan Kapal Sirius yang membawa delegasi Malaysia iaitu Muhammad Haikal Abdullah, Muhammad Muaz Bin Zainal Abiddin, Mohammad Zulfadhli bin Khiruddin dan Mohd Rusydi Ramli.
“Kapal Alma melibatkan Ahmad Musa Alnuwayri Kamaruzaman, IIylia Balqis Suhaimi, Sul Aidil Sudi Huga dan Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana).
“Kapal Grande Blu pula adalah Danish Nazran Murad, Nurfarahin Binti Romli (Farah Lee) manakala Kapal Hio membawa Nur Heliza Helmi dan Nur Hazwani Afiqah Helmi Adara.
“Sementara itu, Kapal Spectre pula adalah Deir Yassin Mali, Yulara, Aurora, Otaria, Morgana, Seulle, dan Mohammad Bhar tidak melibatkan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media harian perkembangan delegasi Misi Sumud Flotilla di Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sani meluahkan keyakinan tinggi semua delegasi Malaysia yang ditahan rejim tentera Israel diperlaku dengan baik berdasarkan rakamn video detik cemas semasa kapal mereka dipintas tentera Israel sebelum membuang gajet masing-masing.
Katanya, serangan bersama dengan menggunakan meriam air tekanan tinggi itu dipercayai hanya menakut dan melemahkan peserta yang ditahan.
Namun menurut beliau, pihaknya belum mendapat perkembangan terkini nasib ke semua delegasi yang ditahun termasuk dari Malaysia dan lokasi mana mereka dibawa.
“Semuanya ditahan atas kapal masing-dan tiada laporan mengatakan bahawa ada helikopter dari atas ketika itu,” katanya. – MalaysiaGazette

















