DATUK Seri Anwar Ibrahim dalam video ucapan secara langsung menerus laman sosial Facebook beliau berhubung perkembangan terkini misi kemanusiaan GSF.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menghubungi beberapa pemimpin dunia termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio supaya campur tangan dalam membebaskan semua aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Israel.

Menurut Perdana Menteri, beliau bersama Kementerian Luar Negeri turut menghubungi Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman serta Presiden Mesir, Fatah Al-Sisi berhubung usaha yang sama.

Tegas Anwar, apa yang didakwa menjadi kesalahan oleh aktivis terbabit adalah merupakan keprihatinan mereka atas prinsip kemanusiaan, membantu rakyat Palestin yang lemah dan kelaparan serta mereka yang sedang sakit khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan wanita.

“Jika ini tidak dapat dilakukan mereka, maka nilai kemanusiaan kita tidak berharga sama sekali,” katanya menerusi video ucapan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook Anwar Ibrahim hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau terus berdoa kepada Allah SWT supaya kezaliman rejim Israel dapat dihentikan dan aktivis GSF dapat dibebaskan.

Dalam masa sama, tambahnya, beliau turut berdoa saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza dapat disampaikan dengan segera.

Setakat tengah hari tadi, seramai 15 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan ditahan oleh tentera rejim Israel selepas mereka terputus hubungan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast