KUALA LUMPUR – Seluruh masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri disyorkan melaksanakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, beliau juga telah mengeluarkan arahan sama terhadap masjid dan surau di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Menurut beliau, solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah itu diarahkan dibuat selepas solat maghrib hari ini, dan selepas solat Jumaat esok, susulan tindakan biadab rejim Zionis memintas misi kemansiaan GSF.
Selain itu, ujarnya, semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan juga akan membaca Khutbah Jumaat Khas berkaitan isu Palestin esok.
“Ayuh kita semua mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada pasukan Global Sumud Flotilla khususnya untuk rakyat Malaysia yang terlibat selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, setakat pukul 10 pagi tadi, seramai 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza. – MalaysiaGazette
















