SEPANG – 10 delegasi Malaysia dalam konvoi Misi Global Sumud Flotilla (GSF) di dalam kapal Alma, Sirius, Huga dan Grande Blue terputus hubungan dipercayai ditahan susulan pintasan Tentera Israel dalam pelayaran dalam Zon Merah R2, awal pagi ini.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) berkata, Datuk Dr Sani Araby Abd Alim Araby berkata, ini kerana mereka tidak dapat dihubungi lebih dua jam dan dipercayai sudah membuang telefon ke dalam laut.
“Tanda ini menunjukkan mereka telah melalui ruang waktu (hubungi) lebih dua jam dan kita dapat pengesahan daripada pusat GSF bahawa tracker itu tidak lagi dijaga.
“Bila depan dan belakang sudah dipintas, agak sukar untuk minta yang lain tengok dan bila rakaman CCTV mereka terputus itu adalah tindakan paling salah Israel.
“Dan sehingga kini kita tidak nampak satu pun Tentera Israel (di atas kapal), hanya suluh lampu dan siraman air, ini cara mereka buat pintasan,” katanya pada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal Alma adalah Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil bersama dua aktivis antarabangsa, Greta Thunberg dan Thiago Avila.
Manakala kapal Sirius membabitkan Haikal Abdullah, Muaz Zainal dan Zulfadhli, kapal Huga adalah Zara Kirana sementara kapal Grand Blue pula adalah Danish bersama Farah Lee.
Dalam pada itu, siaran langsung paparan memaklumkan dua lagi kapal delegasi Malaysia iaitu kapal Mikeno dinaiki Ardell dan kapal Estrella membabitkan PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman masih belum dapat dihubungi.
Sani Araby menambah, kapal Fairlady yang membawa Zainal Rashid (ZRA) bersama Ustaz Muhammad kini berada di barisan paling belakang dalam keadaan baik selepas dipintas Tentera Israel.
“SNCC tadi berjaya menghubungi mereka dan mengatakan tidak mahu berganjak dari misi itu walaupun kapal mereka mengalami masalah teknikal serta bergerak menggunakan kapal layar mengikut kelajuan angin.
“Biarpun menerima berita bahawa kapal lain telah dipintas dan telah dimaklumkan dua jam sebelum itu, Fairlady tetap mengistiharkan tidak akan berpatah balik,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, SNCC turut menerima laporan berlaku formasi ketat oleh kapal perang rejim Israel dengan menyekat laluan misi kemanusian menuju ke Gaza.
“Mengikut laluan ini, kapal- kapal Flotilla tidak melanggar mana-mana undang dan sehingga kini mereka telah dipintas lebih jauh dari misi sbeelum ini iaitu melepas Handalah.
“Apa yang paling penting sekarang ialah kita sedang menghubungi mereka di atas kapal untuk mengesahkan (keadaan mereka). Sebelum mencampakkan telefon (ke dalam laut) mereka beritahu masih dalam keadaan baik dan bersemangat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau kecederaan melibatkan sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF.
“Tidak ada laporan kecederaan yang kami terima setakat ini. Apa saja yang berlaku, kita akan cuba dapatkan laporan terkini daripada kapal yang belum dipintas,” katanya.
Untuk rekod, misi Flotilla antarabangsa itu mula memasuki Zon Merah R3 awal pagi ini sebelum dipintas oleh tentera laut Zionis dan setakat ini, sembilan kapal telah diceroboh dengan 13 telah dipintas Tentera Israel. – MalaysiaGazette
















