KUALA LUMPUR – DMS Motors Sdn Bhd, pelopor dalam perkhidmatan menjual kereta mewah dan eksklusif buat julung kali menganjurkan Program DMS Berselawat menghimpunkan lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelajar dari 10 sekolah tahfiz terpilih, pelanggan setia serta tetamu jemputan khas.
Majlis itu diisi dengan pelbagai pengisian kerohanian termasuk bacaan 30 juzuk al-Quran disusuli penyerahan sumbangan dan diakhiri dengan acara kemuncak selawat beramai-ramai dan tausiyah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DMS Motors, Datuk Mohamad Salim Abd Rahman, majlis itu bukan hanya memenuhi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tetapi merupakan kesinambungan daripada kejayaan program DMS Raikan Ramadan 2025 yang telah dianjurkan Ramadan lalu.
“Jika sebelum ini masyarakat sudah mengenali DMS melalui majlis berbuka puasa dan sumbangan Ramadan kini DMS memperluaskan inisiatif tersebut dengan memberi tumpuan kepada selawat sebagai wadah menghubungkan masyarakat dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dan amai yang hadir bersama keluarga, guru-guru serta rakan-rakan pelanggan DMS.
“Kami ingin menjadikan acara ini sebagai tradisi tahunan, selain program Ramadan, supaya masyarakat dapat bersama-sama menghayati nilai ibadah dan kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kehadiran tokoh ilmuan agama seperti Ustaz Ashraf Suarin dan Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari selain selebriti seperti Nash dan Ebby Yus yang turut menyerikan majlis, malah mereka sendiri pernah terlibat dalam beberapa siri program terdahulu anjuran DMS.
Mohamad Salim menambah, matlamat syarikat bukan sahaja menggerakkan perniagaan automotif tetapi juga membina legasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kami bukan sahaja ingin berjaya dalam perniagaan, tetapi juga ingin memberikan impak positif kepada masyarakat. Program seperti ini adalah salah satu cara kami untuk memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, majlis tersebut tidak hanya berfokus pada aspek kerohanian tetapi turut menjadi platform DMS berkongsi perkembangan terkini syarikat.
Antara yang diumumkan ialah pelancaran DMS Capital iaitu sistem pembiayaan patuh syariah yang membolehkan pelanggan mendapatkan kemudahan kredit kenderaan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bank.
Melalui inisiatif ini, DMS mampu mengeluarkan lebih 30 hingga 40 unit kenderaan setiap bulan, sekali gus memudahkan pelanggan termasuk mereka yang sebelum ini menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman.
Turut diumumkan ialah pelancaran DMS Care yang menawarkan perlindungan tambahan untuk setiap pembelian kereta, merangkumi jaminan enjin, gearbox, ECU serta beberapa komponen penting lain. Dengan sokongan tiga buah bengkel milik DMS, pelanggan dijamin lebih yakin dengan tahap penyelenggaraan serta khidmat selepas jualan. – MalaysiaGazette
















