PASIR GUDANG – Seorang remaja maut selepas terperosok bawah sebuah bas pekerja dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Betik, Taman Kota Masai, di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 7.56 pagi.
Susulan itu katanya, sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pukul 8.38 pagi.
“Kemalangan membabitkan sebuah bas pekerja jenis Hino, sebuah van jenis Joylong dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa.
“Seorang mangsa lelaki iaitu penunggang motosikal berusia 19 tahun didapati berada di bawah bas berkenaan.
“Pihak bomba telah menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu bas berusia 58 tahun dan pemandu van berumur 54 tahun dilaporkan selamat.
Tambahnya, operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.15 pagi. – MalaysiaGazette
















