TEMERLOH – Dua lagi lelaki dicekup polis kerana mencuri kabel sokongan tembaga di jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, suspek masing masing warga tempatan dan Kemboja diberkas dalam serbuan di sebuah bangsal dalam kebun getah di Kawasan Perindustrian Temerloh, Mentakab pada 26 September lepas.
“Semasa proses serbuan dan tangkapan, kedua-dua lelaki tersebut cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan dengan menggunakan kekerasan yang minima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Nasyim, pihaknya menemukan peralatan curi kabel termasuk mesin ‘grinder’ di dalam sebuah beg di atas lantai ketika pemeriksaan dijalankan di bangsal itu.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki berusia 30 tahun itu menjumpai sejumlah dadah dipercayai jenis Syabu dengan anggaran seberat 5.16 gram di dalam poket sebelah kanan seluar yang dipakai suspek.
“Kedua-dua suspek telah membuat pengakuan awal terlibat dalam beberapa kes curi kabel bersama penama “Musang” dan “Sepet” yang masih bebas.
“Suspek warganegara Kemboja ditahan atas kesalahan Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen sah tinggal di Malaysia dan direman sehingga 10 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Terdahulu, Polis Pahang berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang mencuri kabel projek ECRL dengan menahan lapan suspek dalam beberapa serbuan di Temerloh, Kuantan dan Bentong.
Kesemua suspek yang direman disiasat mengikut Seksyen 379, 431A dan 411 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















