KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan agar membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan susulan dakwaan kehadirannya adalah satu bentuk penghinaan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Pemangku Ketua Wira Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, umat Islam tidak boleh terus berdiam diri terhadap penindasan berterusan yang berlaku ke atas rakyat Palestin, terutamanya apabila melibatkan isu bantuan makanan dan perubatan yang dihalang oleh Global Support Foundation (GSF), yang turut mempunyai wakil dari Malaysia.
“Nyawa saudara-saudara kita di Palestin terus dibunuh, manakala ada pihak di Malaysia yang tanpa segan silu mendakwa jemputan Donald Trump kononnya selari dengan maqasid syariah.
“Ini merupakan satu pengkhianatan terhadap nilai keadilan dan penghinaan besar terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Izwan sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia, semua pihak perlu bersatu mempertahankan maqasid syariah, khususnya dalam konteks melindungi nyawa rakyat Palestin yang dizalimi.
“Menyokong atau menjemput tokoh yang jelas bersekongkol dengan dasar luar AS yang menyebelahi Israel adalah bertentangan dengan maqasid syariah.
“Sebaliknya, menolak dan menentang kehadiran individu seperti Trump merupakan sebahagian daripada usaha menegakkan maqasid itu sendiri,” ujarnya lagi.
Mohamad Izwan turut menyifatkan tindakan menjemput Trump ke Malaysia umpama ‘buka pintu rumah kepada penjajah yang berlumuran darah’ dan menyeru kerajaan agar tidak berlindung di sebalik alasan politik atau diplomasi.
Katanya, membatalkan jemputan itu merupakan isyarat jelas bahawa Malaysia menolak keras campur tangan AS yang berpihak kepada Israel.
Tambahnya, jika Trump tetap hadir, kerajaan perlu mengisytiharkan cuti umum agar rakyat dapat turun ke jalanan dan menunjukkan penentangan mereka secara aman dan terbuka.
“Malaysia mesti berani dan bukan tunduk. Kita bukan negara kecil yang boleh dipijak-pijak sesuka hati. Ini adalah masa terbaik untuk menunjukkan bahawa Malaysia berdiri teguh bersama Palestin, menolak penindasan dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyokong kezaliman,” tegasnya.
Kenyataan Mohamad Izwan itu hadir ditengah-tengah kebimbangan masyarakat berhubung hubungan diplomatik dan pendirian negara terhadap isu Palestin-Israel yang terus menjadi perhatian global. – MalaysiaGazette
















