KULAI – Penambahan bahasa Iban dan Kadazan pada Welcome Wall di Menara Kuala Lumpur mencerminkan pegangan sebenar konsep masyarakat Madani yang menjadi teras perpaduan di Malaysia.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu melambangkan semangat inklusif kerajaan dalam meraikan kepelbagaian budaya serta bahasa tempatan yang menjadi kekuatan sebenar negara ini.
“Penambahan bahasa Iban dan Kadazan ini bukan sekadar simbolik, tetapi pengiktirafan terhadap warisan dan identiti rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Inilah makna sebenar masyarakat madani saling menghormati dan menghargai perbezaan,” katanya.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program CSR Run-Run for The Future 2025 di Hutan Bandar Kulai di sini hari ini.
Menurutnya, Menara KL kini semakin mendapat perhatian selepas kerajaan mengambil langkah menambah dua bahasa itu pada dinding alu-aluan berkenaan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh identiti nasional.
Beliau turut menjelaskan bahawa langkah itu hadir selepas perbincangan hangat baru-baru ini berhubung ketiadaan bahasa Tamil pada Welcome Wall berhampiran pintu masuk utama menara tersebut.
“Kerajaan mendengar pandangan rakyat dan akan terus memastikan semua kaum di Malaysia merasa diiktiraf dan dihargai,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perpaduan hanya dapat dicapai melalui kefahaman serta penghormatan antara semua etnik di negara ini.- MalaysiaGazette
















