KUALA LUMPUR – Pemangku Ketua Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menganggap Datuk Seri Tiong King Sing sebagai seorang yang bersikap angkuh serta tidak bertanggungjawab sebagai seorang menteri.
Dr. Mohamad Izwan Zainal turut menyifatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu hanya tahu menafikan tuduhan dengan memberikan alasan politik murahan.
Menurutnya, tindakan King Sing yang menolak dakwaan tetamu Muslim meninggalkan sebuah majlis kerana terdapat minuman beralkohol dengan menyatakan ia sebagai “tidak berasas” tanpa mengemukakan sebarang bukti atau penjelasan konkrit hanyalah usaha menutup kelemahan sendiri.
“Apabila seorang menteri hanya tahu menafikan tanpa fakta, maka apa bezanya kenyataan rasmi dengan alasan politik murahan.
“Untuk menafikan keterlibatan atas alasan teknikal hanyalah usaha menutup kelemahan sendiri. Jika menteri tidak mampu mengawal persepsi dalam acara rasmi yang membawa nama negara, bagaimana beliau mahu meyakinkan dunia bahawa Malaysia serius dalam sektor pelancongan?” soal beliau dalam kenyataan hari ini.
Dr. Izwan turut menyifatkan alasan bahawa majlis berkenaan dianjurkan oleh pihak swasta dan bukan di bawah Tourism Malaysia sebagai satu dalih untuk melepaskan tanggungjawab.
Katanya, majlis itu jelas dikaitkan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, iaitu inisiatif nasional di bawah tanggungjawab kementerian King Sing sendiri.
Lebih mengecewakan beliau mendakwa, King Sing langsung tidak menunjukkan kepekaan terhadap isu agama dan maruah umat Islam sebagai masyarakat majoriti di negara ini.
“Isu alkohol bukan perkara kecil atau sekadar simbol protokol antarabangsa. Ia menyentuh soal akidah dan penghormatan.
“Seorang menteri yang matang sepatutnya menunjukkan empati, bukan mempertahankan diri dengan alasan remeh serta menolak kritikan mentah-mentah seolah-olah tiada sensitiviti dalam pentadbiran,” tegasnya.
Mengulas reaksi King Sing terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menerusi kenyataan sama, Izwan menyifatkan, tindakan menteri itu yang menuduh Mas Ermieyati sebagai mencari publisiti menunjukkan sikap tidak profesional dan mentaliti politik lama yang sombong.
“Tindakan menyerang individu yang menyoal isu sensitif membuktikan bahawa Tiong lebih gemar berperang lidah daripada memperbetulkan keadaan. Ia bukan sahaja menunjukkan keangkuhan kuasa, malah juga ketakutan terhadap kebenaran,” katanya.
King Sing sebelum ini mendakwa kenyataan tanpa fakta boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.
Bagaimanapun, bagi Izwan, imej Malaysia sebenarnya tercalar kerana kegagalan menteri untuk menunjukkan ketelusan dan sikap bertanggungjawab.
“Dunia tidak menilai kita melalui penafian, tetapi melalui kejujuran menghadapi realiti. Kalau kita kembali kepada lima prinsip Rukun Negara, rasanya kita akan hidup dalam rukun aman dan damai,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa rakyat berhak tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam majlis tersebut dan menuntut King Sing tampil dengan bukti serta menjawab isu itu secara terbuka.
“Beliau tidak boleh terus berlindung di sebalik alasan teknikal atau serangan politik. Hormatilah sensitiviti umat Islam sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jika beliau gagal berbuat demikian, maka jelaslah bahawa yang menjadi masalah bukan dakwaan itu, tetapi menteri yang tidak tahu memikul tanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Izwan turut mengingatkan King Sing mengenai Tatakelola Majlis Rasmi Kerajaan di bawah WP5.1 Perkara-perkara Am 5.1.4, yang menyatakan bahawa hidangan minuman keras adalah tidak dibenarkan.
“Perdana Menteri sering menekankan soal tadbir urus yang baik, jadi apa susah sangat untuk faham dan ikut?” soal beliau. – MalaysiaGazette
















