Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

JOHOR BAHRU – Tuntutan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam perhimpunan di Kuala Lumpur semalam supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Perdana Menteri tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tuntutan tersebut tidak kena pada masanya dalam keadaan negara sedang berdepan dengan isu aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk dari Malaysia yang ditahan regim Israel.

“Kalau pun nak jatuhkan kerajaan bukan pada saat ini, 23 orang rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran GSF telah ditahan oleh rejim Israel.

“Sebagai ketua pembangkang Parlimen Malaysia, Hamzah sepatutnya memberi sokongan kepada usaha Anwar untuk membebaskan rakyat Malaysia dari penjara Israel,” katanya dalam kenyataan.

Pada perhimpunan anjuran parti pembangkang di ibu negara semalam, Hamzah menggesa Anwar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berhubung dua isu besar iaitu berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara ini.

Gesaan itu dibuat ketika 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza di tahan dalam penjara rejim Zionis.

Hamzah membidas penggubalan RUU berkenaan serta kekejaman rejim Zionis yang disokong AS di Gaza.

Mengulas lanjut, Hassan tidak kisah jika Hamzah menyentuh isu seperti kedatangan Trump ke negara ini atau RUU PSB sekiranya semua rakyat Malaysia sudah selamat pulang ke tanah air.

Beliau menegaskan, sepatutnya Ahli Parlimen Larut itu bersama-sama menyatakan sokongan terhadap usaha Anwar untuk membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan dalam penjara Israel.

“Saya harap Hamzah selaku Ketua Pembangkang memahami bagaimana cara untuk berdepan dengan negara musuh seperti Israel yang menyerang rakyat Malaysia.

“Prinsipnya mudah. Apabila kita berdepan dengan musuh dari luar negara maka semua pihak dalam Malaysia, baik kerajaan dan pembangkang mesti bersatu.

“Tetapi satu hal yang Ketua Pembangkang perlu akur iaitu dalam keadaan genting, cemas yang menyangkut nyawa 23 rakyat Malaysia di tangan zionis Israel, ternyata Anwar telah lulus dalam ujian itu.

“Rasanya eloklah dan amat tinggi budi pekerti Ketua Pembangkang Malaysia jika beliau sanggup mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia yang telah berjaya membebaskan 23 rakyat kita dari penjara rejim Zionis Israel,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast