KULAI – Perbincangan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih belum lagi dimuktamadkan.
Ketua Sayap Wanita DAP, Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, beliau difahamkan keputusan masih belum dibuat kerana kedua-dua pihak masih berbincang ketika ini.
“Kenyataan tentang BN Sabah tidak mahu bekerjasama dengan PH di dalam PRN Sabah itu mungkin hanya kenyataan peribadi dibuat sesetengah individu, tetapi saya rasa dakwaan itu tidak betul.
“Sebaliknya setakat pengetahuan saya, memang ada rundingan sedang dijalankan antara PH dan BN tetapi saya tidak terlibat dalam rundingan tersebut,” katanya.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian pemberita ketika ditemui pada program Run For The Future di Hutan Bandar Putra Kulai, di sini hari ini.
Pada 5 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dilaporkan berkata, pihaknya menghormati keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN Sabah.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus berbincang dengan BN dan GRS bagi mencari penyelesaian terbaik.
Ini susulan keengganan BN bekerjasama dengan GRS dalam PRN Sabah.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada pilihan raya negeri berkenaan.- MalaysiaGazette
















