Ahmad selepas merasmikan Kejohanan Catur Peringkat Kebangsaan Interstates di Dewan Muafakat Taman Saujana, Pontian, semalam

PONTIAN – Keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi kesan terhadap gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

Ketua Sekteriat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak menolak keadaan itu akan menggoyahkan GRS dalam menghadapi PRN-17 Sabah nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu beranggapan, tindakan kedua-dua parti itu memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam landskap politik negeri menjelang PRN.

“Situasi terbaharu ini memberi kelebihan kepada BN yang disifatkan telah bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk PRN Sabah dalam masa terdekat.

“Dengan perkembangan mutakhir ini, kita melihat ada kelebihan kepada BN. Jentera BN telah bersedia dari awal, bukan saat-saat akhir,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu ditemui selepas merasmikan Kejohanan Catur Peringkat Kebangsaan Interstates di Dewan Muafakat Taman Saujana di sini semalam.

Khamis lalu, STAR dan SAPP memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo dalam PRN ke-17 Sabah.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Sri Gaya Rabu lalu.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri semua presiden parti komponen GRS.

Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semakin hangat pada masa ini dengan beberapa tarikh disebut-sebut untuk pengumuman rasmi berkenaan.

Terkini, sebuah agensi media melaporkan berdasarkan sumber politik kanan negeri bahawa pengumuman pembubaran DUN Sabah dijangka dibuat pada Isnin ini.

DUN Sabah ke-16 dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal seterusnya memberi laluan bagi PRN.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast