Seorang remaja maut dalam kemalangan dua motosikal dan sebuah kereta di Lebuh Raya Senai-Desaru, Johor Baharu hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan dua motosikal dan sebuah kereta sebelum kedua-duanya terbakar di Kilometer 46, Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Ulu Tiram di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan berlaku pukul 1 pagi membabitkan sebuah Perodua Alza dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun serta dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa, 17, serta rakannya, 15.

“Siasatan awal mendapati kereta terbabit sedang bergerak lurus menuju ke Ulu Tiram. Mangsa pula bersama-sama rakannya datang dari arah bertentangan.

“Kemudian motosikal mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penunggang Yamaha Y15 terjatuh atas jalan manakala rakannya yang menunggang Yamaha LC135 tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

“Beberapa minit kemudian, kedua-dua motosikal tersebut tiba-tiba terbakar dipercayai akibat kebocoran tangki minyak susulan kemalangan,” ujarnya.

Mohd Sohaimi berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya hanya cedera ringan.

Pemandu kereta berkenaan pula tidak mengalami kecederaan, katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya. Sebarang maklumat mengenai kemalangan ini boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Kejadian turut tular dalam media sosial selepas video kemalangan dimuat naik dalam Facebook. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast