Ahmad Ikram memboncengkan Steven Sim pada program Penang Rider Jalan Teruih yang juga sebahagian siri jelajah RUU Pekerja Gig di Bukit Mertajam dua minggu lalu.

BUKIT MERTAJAM – Perbualan ringkas ketika menunggang motosikal bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong bertukar rezeki buat seorang rider sambilan apabila kos insurans keluarganya ditanggung selama setahun.

Ahmad Ikram Ahmat Makbol, 31, berkata, perbualan mengenai beban kewangan itu tercetus semasa beliau membonceng Steven Sim semasa konvoi Penang Rider bersama lebih 300 penunggang dari pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya dua minggu lalu.

“Saya hanya menyebut tentang bayaran insurans sebanyak RM590 yang perlu ditanggung untuk isteri, anak serta diri sendiri namun tidak menyangka ia meninggalkan kesan kepada YB Steven Sim yang juga Menteri Sumber Manusia.

“Minggu lepas saya dipanggil ke pejabat YB (Steven Sim) dan diberitahu beliau mahu membantu membiayai insurans kami sekeluarga selama setahun.

“Malah insurans anak kecil saya yang baru berusia empat bulan turut ditanggung,” tulisnya menerusi hantaran Facebook yang turut dikongikan bersama Steven Sim hari ini.

Ahmad Ikram terharu kerana tidak menyangka perbualan singkat itu diingati sehingga membuahkan bantuan yang cukup bermakna.

Pada 21 September lalu, lebih 1,500 penunggang motosikal berhimpun sempena program Penang Rider Jalan Teruih anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang serta Penang Youth Development Centre (PYDC).

Program berkenaan menjadi sebahagian siri jelajah penerangan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast