JOHOR BAHRU – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluluskan peruntukan RM3 juta bagi pembinaan dua stesen seismologi baharu di Segamat sebagai langkah meningkatkan sistem amaran awal dan pemantauan bencana di kawasan berisiko tinggi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman bencana alam, khususnya di bahagian selatan tanah air.
“Selain itu melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan turut menyalurkan bantuan berjumlah RM50.6 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bagi membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketuka berucap dalam Majlis Pelancaran Yayasan MARA (YPM) Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.
Menurut Onn Hafiz, langkah bersepadu yang diterajui Timbalan Perdana Menteri itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan Persekutuan dalam menjaga keselamatan serta kebajikan rakyat Johor yang sering berdepan risiko bencana khususnya banjir.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri atas keprihatinan dan sokongan padu terhadap Johor khususnya dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Onn Hafiz menambah, pembinaan dua stesen seismologi di Segamat dijangka mempertingkat keupayaan pihak berkuasa dalam mengesan gegaran.
Jelasnya, ia memberi amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko, sekali gus mengurangkan kesan serta risiko terhadap nyawa dan harta benda.
“Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama rapat dengan NADMA bagi memastikan setiap bentuk bantuan sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau menegaskan, keprihatinan Timbalan Perdana Menteri mencerminkan pendekatan Kerajaan Madani yang menekankan nilai keprihatinan, kesiapsiagaan dan tindakan pantas dalam membantu rakyat ketika berdepan musibah.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Ahmad Zahid dan Onn Hafiz semasa Majlis Pelancaran Yayasan MARA (YPM) Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru hari ini.
















