Ahmad Zahid (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan kerajaan negeri dalam Majlis Pelancaran Skuad YPM Peringkat Begeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Khamis lalu adalah satu bentuk taktik lama yang diguna semula untuk Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, itu merupakan taktikal kedua-dua parti tersebut yang merupakan strategi bertanding atas tiket sendiri bagi meraih sokongan pengundi.

Timbalan Perdana berkata, bagaimanapun kedua-dua parti tersebut akan kembali bekerjasama selepas PRN tersebut bagi membentuk kerajaan negeri.

“Bacaan saya, apabila STAR dan SAPP tinggalkan GRS, ini merupakan taktik politik untuk mereka bertanding dengan label masing-masing.

“Selepas PRN Sabah, mereka mungkin akan bersama semula untuk bentuk kerajaan,” katanya pada pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Stadium Tertutup,  Arena Larkin di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA)Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Khamis lalu, STAR dan SAPP memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo dalam PRN-17 Sabah.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Sri Gaya, Kota Kinabalu, Rabu lalu.

Ahmad Zahid berkata, taktik sedemikian bukan perkara baharu dalam politik Sabah namun yakin rakyat kini lebih matang dan tidak mudah dipengaruhi dengan strategi berkenaan.

“Saya ingatkan pengundi-pengundi di Sabah, ini merupakan taktik lama dan saya rasa pengundi Sabah cukup pintar untuk menolak politik seperti itu,” tegasnya.

Beliau dalam masa sama menjelaskan Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN Sabah selaras dengan ketetapan parti.

“Sebagaimana ketetapan dibuat oleh UMNO dan BN, kita hanya menjalin kesepakatan dengan PH untuk menghadapi PRN Sabah. Perkembangan dalam parti-parti gabungan GRS adalah di luar daripada keputusan yang kita buat,” katanya.

Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semakin hangat pada masa ini dengan beberapa tarikh disebut-sebut untuk pengumuman rasmi berkenaan.

Terkini, sebuah media melaporkan berdasarkan sumber politik kanan negeri bahawa pengumuman pembubaran DUN Sabah dijangka dibuat pada 6 Oktober ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast