Facebook MyCARE
Facebook MyCARE

KUALA LUMPUR – Kapal Conscience yang membawa delegasi misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) kini semakin hampir ke perairan Gaza apabila hanya tinggal 270 batu nautika sebelum tiba ke destinasi.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan MyCARE menerusi satu hantaran di media sosial hari ini di mana kedudukan itu dicatatkan pukul 6.15 petang waktu Malaysia.

“Hanya 270 batu nautika lagi sebelum Conscience bersama dengan armada Thousand Madleens to Gaza tiba di bumi Gaza.

“Doakan, teruskan memberi perhatian kepada gelombang ketiga ini. Tunggu kami Ya Gaza!” katanya.

Kapal Conscience merupakan sebahagian armada Thousand Madleens to Gaza yang membawa aktivis kemanusiaan dan sukarelawan dari pelbagai negara termasuk sembilan rakyat Malaysia.

Misi ini diteruskan meskipun berdepan pelbagai halangan di laut Mediterranean termasuk ancaman keselamatan dan pemeriksaan oleh pihak luar.

Gelombang ketiga konvoi dijangka memainkan peranan penting dalam usaha antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang kini terus berada dalam krisis kemanusiaan.

Antara sukarelawan rakyat Malaysia menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan dengan menaiki kapal Conscience milik FFC itu termasuk Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali.

Peserta lain terdiri daripada Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Selain itu, misi ini turut disertai wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, pensyarah, Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan perjalanan sembilan lagi delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan FFC ke Gaza dipermudahkan.

Anwar turut menyifatkan pengorbanan mereka mengangkat prinsip kemanusiaan adalah contoh unggul buat seluruh rakyat di negara ini terutama generasi masa depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast