JOHOR BAHRU – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan empat langkah reformasi bagi memastikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) terus relevan dan memberi impak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pertamanya dengan memperkasa bilangan anggota Skuad YPM sehingga melebihi 20,000 orang di seluruh negara dengan Johor antara peneraju utama.
“Kedua, memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melalui kerjasama rapat dengan institusi di bawah MARA seperti Giatmara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Universiti Kuala Lumpur.
“Ketiga, memperluas bantuan secara bersasar kepada anak muda di kawasan luar bandar dan pedalaman. Data dan kerjasama akar umbi mesti digunakan agar bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Keempat, meningkatkan sokongan kepada Sekretariat dan Sahabat YPM di peringkat negeri dan parlimen agar mereka lebih proaktif melaksanakan aktiviti yang tersusun dan berimpak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Majlis Yayasan Mara (YPM) Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid berkata, reformasi YPM bukan sekadar pelan atas kertas tetapi satu tekad besar untuk membina generasi belia yang berjiwa besar, berilmu tinggi dan berakhlak mulia.
Jika langkah-langkah itu dijayakan bersama-sama, beliau yakin YPM akan terus menjadi wadah yang membentuk anak muda Malaysia sebagai pemimpin masa depan yang berani, berdaya tahan, serta mampu membawa bangsa dan negara melangkah gagah di pentas dunia.
Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada Onn Hafiz atas peruntukan RM2 juta bagi program pendidikan Skuad YPM pada tahun ini.
“Justeru, saya menyeru Skuad YPM supaya menjadi agen perpaduan, menolak politik kebencian dan menyebarkan peluang pendidikan yang ditawarkan Mara serta YPM.
“Jadilah ejen kebaikan yang mampu mengubah rakan sebaya menjadi insan berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Anda semua bukan hanya sukarelawan tetapi simbol semangat anak muda Malaysia yang turun padang membawa perubahan positif. Saya mahu Johor menjadi model negeri belia Malaysia, dengan Skuad YPM paling aktif dan progresif,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















