JIM melakukan serbuan dan menahan 10 PATI dalam sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Sedili, Kota Tinggi kelmarin.

KOTA TINGGI – Beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terkejut dan cuba melarikan diri semasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Sedili, di sini, kelmarin.

Operasi yang bermula pukul 1 pagi itu melibatkan 30 pegawai Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor itu selepas mengetahui terdapat PATI menetap dan bekerja secara haram di ladang kelapa sawit berkenaan.

Menurut Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, Ops Sapu tersebut dilakukan secara mengejut ketika semua warga asing berkenaan sedang berehat di rumah dalam ladang berkenaan.

“Rumah itu dijadikan sebagai tempat tinggal secara haram dan ada antara mereka cuba melarikan diri serta bersembunyi dalam bilik namun berjaya diberkas.

“Seramai 10 warga asing di tahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, seorang kanak-kanak perempuan dan dua wanita dewasa.

“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 52 tahun termasuk bayi berusia tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati PATI berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Menurut beliau, siasatan mendapati PATI tersebut juga sudah bekerja di kebun persendirian berkenaan antara tiga hingga empat bulan.

Jelasnya, semua warga asing yang ditahan itu melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut dan tindakan lanjut mengikut undang-undang sedia ada.

JIM Johor tegasnya, akan terus mempergiat lagi usaha penguatkuasaan di negeri ini bagi membanteras isu kebanjiran PATI.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI serta majikan dan pemilik premis yang masih menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit yang sah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast