JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan pendiriannya sama ada masih bersedia menjadi calon Perdana Menteri bagi blok Perikatan Nasional (PN).
Naib Pengerusi Parti Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, bekas Perdana Menteri itu dicabar berbuat demikian atau sebenarnya hanya mahu terus berlindung di sebalik pengaruh parti lain seperti Pas untuk menghidupkan semula cita-cita politik peribadinya.
“Amanah Johor turut mengingatkan agar Muhyiddin tidak terus mengelak daripada menjawab persoalan dan pertikaian yang timbul antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN), terutamanya dengan Pas yang semakin lantang menunjukkan dominasi dalam pakatan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Amanah Kawasan Kluang itu berpandangan, Pengerusi PN itu perlu terlebih dahulu menyelesaikan kemelut dalaman partinya sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jelasnya, ini termasuk isu kepimpinan, perebutan pengaruh antara puak dan kehilangan keyakinan dalam kalangan akar umbi, sebelum bercita-cita untuk memperluaskan pengaruh politik di luar PN.
Amanah Johor juga katanya , menegur sikap Presiden Bersatu itu yang dilihat terlalu ghairah mengajak parti lain untuk bersama-sama PN, sedangkan Bersatu sendiri sedang bergolak dengan pelbagai krisis dalaman yang belum selesai.
“Cukup-cukuplah menuding jari kepada pihak lain, politik Johor dan Malaysia amnya tidak memerlukan lagi pemimpin yang gagal mengurus partinya sendiri tetapi masih mahu berbicara soal penyatuan,” katanya.
Tambahnya, kestabilan politik negara hanya boleh dicapai melalui kejujuran, kebertanggungjawaban dan keikhlasan dalam kepimpinan bukan dengan retorik atau sandiwara politik yang berterusan.- MalaysiaGazette
















