Oleh: Dr Ahamad Jama’ Amin Yang
ISU Palestin tidak pernah sekadar sebuah krisis politik, tetapi medan ujian kepada nilai kemanusiaan sejagat dan kredibiliti sistem antarabangsa. Setiap peluru, sekatan dan pengusiran yang berlaku di bumi Gaza menjadi simbol betapa undang-undang dunia sering tunduk di bawah kehendak kuasa besar. Konflik ini menyingkap wajah sebenar hegemoni
global yang memperalat prinsip kemanusiaan mengikut kepentingan geopolitik masing-masing.
Dalam kerangka ini, Malaysia berdiri sebagai suara kecil yang berjiwa besar tegas mempertahankan maruah kemanusiaan. Kehadiran Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir Oktober 2025 membuka satu babak penting.
Tokoh yang terkenal dengan dasar pro-Israel itu membawa bersamanya legasi politik neokonservatif yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Kehadirannya menjadi ujian terhadap kebijaksanaan Malaysia dalam mengimbangi idealisme moral dengan realiti kuasa antarabangsa.
Malaysia berdepan dilema yang halus antara mengekalkan solidariti moral terhadap Palestin yang telah berakar dalam dasar luar negara atau menyesuaikan diri dengan tekanan geopolitik yang ditentukan oleh kuasa besar. Dalam dilema itu terserlah soalan mendasar tentang siapa Malaysia di mata dunia dan di sisi sejarah.
Idealisme moral nadi diplomasi
Sejak era awal kemerdekaan, Malaysia menegaskan dirinya sebagai negara yang memperjuangkan keadilan sejagat. Sokongan terhadap Palestin bukan tindakan simbolik, tetapi manifestasi idealisme moral yang berpaksikan keyakinan bahawa setiap bentuk
penindasan ialah pencabulan terhadap kemanusiaan. Malaysia tidak bersuara atas nama agama semata-mata, tetapi atas nama keadilan sejagat yang menuntut tanggungjawab kolektif dunia.
Melalui pendirian ini, Malaysia membina identiti diplomatik sebagai negara sederhana yang berprinsip besar. Suara Malaysia mungkin kecil, tetapi keberaniannya besar. Dalam dunia yang sering mengukur kekuatan melalui ekonomi dan ketenteraan, Malaysia memperlihatkan bahawa kekuatan moral mampu menandingi kekuasaan material. Namun idealisme tanpa strategi hanyalah retorik yang tidak mengubah realiti. Oleh itu, keutuhan prinsip mesti disertai kecekapan strategi agar suara Malaysia kekal relevan dan dihormati.
Realiti dunia dan tuntutan kebijaksanaan
Dunia tidak ditentukan oleh moral semata-mata. Seperti yang dihuraikan oleh sarjana kritikal Noam Chomsky, dasar luar Amerika Syarikat berasaskan dominasi geopolitik yang meletakkan Israel sebagai proksi utama untuk mengekalkan pengaruh Washington di Asia Barat. Israel menjadi alat bagi mengekalkan struktur kekuasaan dunia yang memihak kepada
kepentingan Barat.
Dalam realiti sebegini, Malaysia tidak boleh bertindak dengan idealisme kosong. Ia harus memahami percaturan kuasa dan berupaya bergerak di dalamnya tanpa mengorbankan prinsip. Realisme menuntut Malaysia menilai hubungan ekonomi, keselamatan dan diplomasi dengan berhati-hati, sambil mencari ruang untuk menyalurkan nilai kemanusiaan dalam
strategi yang pragmatik.
Kerjasama dengan kuasa seperti China, Rusia dan Kesatuan Eropah yang lebih bersikap kritikal terhadap Israel boleh memperkukuh posisi Malaysia dalam forum antarabangsa. Melalui diplomasi serantau dan jaringan global, suara Malaysia tidak lagi terpinggir, sebaliknya menjadi sebahagian daripada arus baharu yang mencabar hegemoni unilateral Barat.
Tafaqqahu dan seni kebijaksanaan diplomasi
Antara idealisme dan realisme, Malaysia perlu berpaut pada tafaqqahu. Konsep ini menuntut kefahaman mendalam terhadap konteks, keupayaan membaca struktur kuasa dan kebijaksanaan menyesuaikan strategi tanpa mengorbankan nilai. Tafaqqahu menggabungkan hikmah dengan analisis, menjadikan diplomasi bukan sekadar tindak balas tetapi seni berfikir
jauh ke hadapan.
Melalui tafaqqahu, Malaysia dapat menampilkan isu Palestin bukan hanya sebagai persoalan agama, tetapi sebagai pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Dengan pendekatan universal ini, Malaysia menonjol sebagai negara yang sederhana, berprinsip dan dihormati atas rasionalitinya.
Sarjana Islam Rashid Khalidi pula menegaskan Palestin tidak sekadar menjadi mangsa penjajahan fizikal, tetapi turut berdepan penindasan naratif. Wacana antarabangsa tentang Palestin sering dikawal oleh kuasa besar yang berusaha menormalisasi
dominasi Israel. Dalam konteks ini, Malaysia bukan sekadar menyuarakan solidariti, tetapi berperanan membongkar manipulasi wacana global yang menutup kebenaran.
Mengurus realiti dengan kearifan
Beberapa minggu sebelum Sidang ASEAN, dunia menyaksikan penahanan aktivis Global Sumud Flotilla oleh tentera Israel. Tindakan itu bukan kebetulan, tetapi mesej kekuasaan yang mahu menakutkan gerakan solidariti antarabangsa. Dari perspektif psikologi politik, ia adalah simbol peneguhan dominasi Israel di hadapan dunia. Malaysia boleh memanfaatkan
insiden tersebut untuk memperkukuh hujah bahawa penindasan terhadap Palestin ialah pelanggaran sistematik terhadap maruah manusia sejagat.
Dalam situasi begini, kearifan Malaysia perlu diterjemahkan melalui tindakan diplomatik yang berlapis. Malaysia mesti menegaskan prinsip keadilan tetapi dalam masa yang sama mengekalkan saluran komunikasi dan rundingan. Diplomasi bukan semata-mata tentang siapa yang menang, tetapi tentang bagaimana nilai boleh dipertahankan tanpa menutup ruang perbincangan. Inilah seni yang menjadikan Malaysia relevan di tengah dunia yang berpecah antara idealisme dan kepentingan.
Kehadiran Donald Trump ke Kuala Lumpur menjadi cerminan bagaimana dunia baharu masih ditentukan oleh ego lama. Namun bagi Malaysia, momen itu bukan sekadar cabaran politik, tetapi ujian terhadap jati diri dan kebijaksanaan nasional. Malaysia tidak boleh bergantung pada idealisme yang terpisah daripada reality dan tidak boleh juga tenggelam dalam realisme yang menafikan nilai.
Keseimbangan antara idealisme dan realisme hanya dapat dicapai melalui tafaqqahu yang berakar pada kefahaman mendalam, prinsip moral dan strategi diplomasi yang matang. Pandangan Chomsky mengingatkan bahawa sistem global sering dimanipulasi oleh kuasa besar, manakala Khalidi mengingatkan bahawa Palestin turut menjadi mangsa penindasan naratif yang tersusun.
Dalam menghadapi dunia yang semakin sinis terhadap keadilan, Malaysia tetap berperanan sebagai suara kecil yang berwibawa, konsisten dan berani menegakkan kemanusiaan sejagat. Inilah wajah sebenar diplomasi Malaysia yang menyulam kearifan, idealisme dan realisme menjadi satu kesatuan nilai yang tidak mudah digugat oleh hegemoni kuasa dunia.
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah dan Felo Bersekutu, Royal Historical Society (UK).
















