ISKANDAR PUTERI – Pergerakan kereta yang mencurigakan membongkar kegiatan pengedaran dadah selepas dua lelaki ditahan di Jalan Bestari Jalan Bestari 88, Mutiara Rini di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, tangkapan itu dilakukan pukul 3.20 pagi oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang menjalankan rondaan berkala.
“Pemeriksaan polis dalam kereta Proton Iriz yang dinaiki dua lelaki tersebut yang berusia 23 dan 25 tahun menemukan dadah jenis heroin seberat 2.83 kilogram (kg) dengan nilai anggaran RM24,000 dan syabu seberat 1.81 kg bernilai RM48,000.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.
Kumarasan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sejak lima bulan lalu.
Jelas beliau, kenderaan yang digunakan adalah milik salah seorang suspek.
“Salah seorang individu mempunyai rekod jenayah lampau dan kedua-dua mereka direman sehingga 12 Oktober depan,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- MalaysiaGazette
















