GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyerahkan sumbangan berjumlah RM4 juta bagi melaksanakan Program Intervensi Penyelenggaraan Infrastruktur (Prihatin) bagi menaik taraf sistem bekalan air di pangsapuri kos rendah negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong inisiatif meningkatkan bekalan air kepada penduduk pangsapuri kos rendah.

“Sumbangan RM4 juta ini merangkumi RM2 juta bagi tahun 2024 dan RM2 juta bagi tahun ini.

“Dana tersebut akan disalurkan kepada projek-projek di bawah program Prihatin inisiatif bersama Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan PBAPP,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan cek tersebut kepada Ketua Pegawai Penguatkuasaan dan Undang-Undang LPNPP,  Nadzifah Abdul Rahim yang disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Komtar.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, skop kerja di bawah program Prihatin merangkumi pelbagai kerja penyelenggaraan infrastruktur air termasuk pembaikan dan penggantian tangki serta paip sedia ada.

Kerja-kerja pembinaan baharu juga mungkin dilaksanakan seperti pemasangan tangki sedutan atau pembinaan rumah pam tertakluk kepada hasil pemeriksaan teknikal dan kelulusan rasmi pihak berkuasa tempatan.

“Kira-kira 300 projek perumahan kos rendah di Pulau Pinang khususnya pangsapuri lima tingkat yang dibina tanpa kemudahan tangki sedutan dan sistem pam air.

“Kebanyakan tangki air di atas bumbung pangsapuri ini dibina lebih 15 tahun lalu pada ketinggian sekitar 20 meter atau lebih dari paras tanah kerana pada masa itu, penggunaan air Pulau Pinang adalah di bawah 800 juta liter sehari (JLH).

“Namun kini berbeza apabila penggunaan air meningkat kepada 870 juta liter sehari pada tahun 2024, sekali gus memberi cabaran besar kepada PBAPP untuk mengekalkan tekanan air minimum 10 meter head (mH) seperti disyaratkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast