BALIK PULAU – Seorang remaja lelaki direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan pelajar perempuan berusia 14 tahun yang juga kekasihnya.
Perintah reman terhadap suspek berusia 18 tahun itu dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting bermula hari ini sehingga 10 Oktober depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju sejuk berhud berwarna hitam tiba di pekarangan Mahkamah Balik Pulau kira-kira jam 8.15 pagi dengan diiringi anggota polis.
MalaysiaGazette difahamkan, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu ditahan di kediamannya di Batu Kawan dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Difahamkan, tangkapan dibuat hasil siasatan polis susulan mangsa sebelum ini membuat laporan mendakwa dirogol guru sekolahnya.
Guru lelaki berusia 32 tahun itu sebelum direman selamat empat hari bermula Jumaat lalu namun, dibebaskan dengan jaminan hari ini.
Difahamkan, pihak polis melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada pihak pendakwa raya.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette pada Jumaat lalu melaporkan, seorang guru sekolah menengah di Seberang Perai direman selama empat hari bagi membantu siasatan merogol pelajar berusia 14 tahun.
Suspek dikatakan serah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, selepas mangsa yang juga pelajar di sekolah sama membuat laporan berhubung kejadian.
Difahamkan mangsa membuat laporan dirogol suspek di parkir terbuka sebuah kompleks beli belah di Persiaran Bayan Indah di sini, pada November tahun lalu. – MalaysiaGazette
















