JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor yang masih membisu berkenaan desakan menyatakan pendirian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) menunjukkan keretakan hubungan antara mereka.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman mendakwa, keadaan itu juga mendedahkan kelemahan koordinasi antara dua gabungan politik berkenaan dalam menghadapi PRN.
“Sebagai parti pembangkang, Pejuang melihat perkembangan ini sebagai gambaran jelas bahawa kerajaan campuran PH-BN masih tidak mempunyai hala tuju yang mantap serta strategi yang jelas dalam menghadapi PRN akan datang.
“Pejuang Johor berpandangan bahawa kerjasama yang kabur dan tidak telus hanya akan merugikan rakyat kerana fokus lebih tertumpu pada perebutan kerusi berbanding agenda membela nasib Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Suraya, politik perjanjian kuasa yang tidak berpaksikan aspirasi rakyat akan menambahkan rasa muak dan hilang keyakinan pengundi terhadap kerajaan.
Rakyat Johor, katanya, berhak mendapat pilihan alternatif yang lebih bersih, jelas serta konsisten dan Pejuang tampil membawa suara rakyat tanpa dikongkong kepentingan kuasa Pusat.
Jelasnya, Pejuang Johor juga mempunyai misi dan visi jelas memperbaiki keadaan defisit fiskal ekonomi yang meruncing tanpa membebankan ekonomi rakyat.
Sehubungan itu Pejuang Johor akan terus menjadi suara pengimbang serta menawarkan jalan penyelesaian berasaskan kepentingan rakyat, bukannya kepentingan elit politik.
“PRN Johor bukan medan untuk berebut kerusi semata-mata tetapi ujian untuk menilai siapa yang benar-benar ikhlas memperjuangkan rakyat,” katanya.
Pada 28 Ogos lalu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain mendesak UMNO menyatakan pendirian jelas sama ada ingin terus bersama-sama PH atau memilih bergerak solo dalam PRN.
Beliau dilaporkan berkata, UMNO tidak perlu berdalih dan pucuk pimpinan parti tersebut juga diingatkan supaya tidak memberi jawapan yang berbeza dengan apa dinyatakan di peringkat bahagian.
Sementara pada 25 September lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad pula mengingatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak ada ‘abang besar’ dalam rundingan kerjasama nanti sekiranya bersetuju untuk bersama-sama.- MalaysiaGazette
















