Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib.

 

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib menggesa kerajaan menubuhkan Pusat Kawalan Infrastruktur Kritikal Nasional (CICN) bagi memperkukuh sistem keselamatan awam dan pemantauan infrastruktur negara susulan tragedi letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

Beliau berkata, kejadian itu bukan sekadar kemalangan terpencil sebaliknya satu amaran jelas bahawa sistem pemantauan keselamatan terhadap infrastruktur kritikal negara masih mempunyai kelemahan ketara dan perlu ditambah baik segera.

“Malaysia kini tidak boleh lagi bergantung kepada pemantauan manual atau prosedur tradisional.

“Rangkaian paip gas bawah tanah yang melalui kawasan perumahan, industri dan komersial menuntut pendekatan keselamatan moden dan bersepadu,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Menurutnya, penubuhan CICN di bawah Jabatan Perdana Menteri penting bagi menyelaras semua data pemantauan berkaitan gas, elektrik, air dan komunikasi supaya maklumat kecemasan dapat disalurkan tepat pada masanya tanpa pertindihan agensi.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya setiap pelan pembangunan yang melibatkan jajaran infrastruktur bawah tanah diwajibkan memiliki Sijil Impak Keselamatan Infrastruktur (SIKI), seumpama laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

“Dengan adanya SIKI, setiap pemaju perlu menilai risiko keselamatan awam sebelum sesuatu projek diluluskan,” ujarnya.

Dalam aspek kebajikan mangsa, Ismi turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan Skim Perlindungan Awam Nasional (SPAN) yang dibiayai melalui levi kecil ke atas operator utiliti bagi memastikan tanggungjawab sosial korporat dilaksanakan secara tersusun tanpa bergantung sepenuhnya kepada tabung bantuan bencana.

Beliau juga menyeru supaya sistem amaran awal dan latihan keselamatan komuniti diperkukuh, khususnya di sekolah dan kawasan perumahan, bagi memastikan rakyat tahu langkah yang betul apabila berlaku kebocoran gas atau tumpahan bahan kimia.

Selain itu, katanya, data pemetaan geobencana perlu digabungkan dalam pelan perancangan bandar dan pelan struktur negeri, manakala Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) wajar diberi kuasa mandatori dalam proses kelulusan pelan pembangunan.

Ismi turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan Pelan Audit Keselamatan Infrastruktur Tahunan yang dilaksanakan oleh pihak ketiga bebas bagi mengelakkan konflik kepentingan antara penyelenggara dan pengawal selia.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan penggubalan Akta Keselamatan Infrastruktur Kritikal Nasional bagi menetapkan piawaian teknikal dan tanggungjawab undang-undang secara jelas apabila berlaku kecuaian. Akauntabiliti dan ketelusan mesti menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau menegaskan, tragedi Putra Heights perlu dijadikan titik tolak kepada pembentukan budaya keselamatan nasional yang berterusan, bukan sekadar reaksi sementara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast