Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Logo ASEAN sebagai gimik Perasmian Pembukaan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam di Sunway Resort, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 7 OKTOBER 2025.

PETALING JAYA – Pendirian Malaysia berhubung cadangan perdamaian di Gaza yang dipelopori oleh Amerika Syarikat (AS) antara perkara yang dibentangkan kepada Majlis-Majlis Raja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, perdana menteri turut membentangkan beberapa isu dasar ketika mengadap Majlis-Majlis Raja pagi ini, termasuk persiapan Belanjawan 2026.

“Pertemuan (mesyuarat) dengan Majlis Raja-Raja adalah bagi membentangkan perkembangan semasa termasuk lawatan-lawatan pemimpin dunia, tentang ASEAN (Sidang Kemuncak ASEAN ke-47) akhir Oktober ini.

“Juga tentang lawatan Trump (Presiden AS, Donald Trump),” katanya.

Anwar ditemui pemberita selepas merasmikan Pembukaan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Yang Bersedia Menghadapi Masa Hadapan Masa di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam di Sunway Resort, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 7 OKTOBER 2025.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Anwar tidak dapat menghadiri sesi Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pagi ini untuk menjawab dua soalan yang telah disenaraikan kerana dipanggil menghadiri satu mesyuarat bersama Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan berkenaan pelan damai Trump dalam konflik di Gaza yang meliputi gencatan senjata, pembebasan semua tebusan Israel, penyerahan kuasa pentadbiran Gaza kepada pemimpin Palestin teknokrat serta pelucutan senjata Hamas.

Hamas dilaporkan telah menerima sebahagian besar cadangan tersebut secara prinsip dan bersedia untuk rundingan lanjut.

Konflik Gaza yang berlarutan sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 67,000 nyawa rakyat Palestin, menurut laporan antarabangsa, dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast