KUALA LUMPUR –Kegagalan institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghentikan pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin adalah bukti nyata kelemahan sistem global yang bersifat berat sebelah.
Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM), Dr. Najihatussalehah Ahmad berkata, meskipun resolusi demi resolusi diluluskan di peringkat antarabangsa, tetapi tiada tindakan konkrit diambil untuk menamatkan penjajahan dan penindasan yang dilakukan oleh rejim zionis terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
“Kebisuan kuasa-kuasa besar dunia adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, di sebalik penderitaan yang tidak berkesudahan, Gaza terus menjadi simbol ketabahan luar biasa, apabila rakyatnya tidak pernah tunduk, sebaliknya bangkit dengan semangat sumud yang teguh mempertahankan tanah air, agama dan maruah mereka.
Degan memetik firman Allah SWT dari Surah Ali ‘Imran ayat 169, Najihatussalehah berkata, umat Islam wajib bersatu menolak sebarang bentuk normalisasi hubungan dengan rejim penjajah, selain menyuarakan kebenaran demi membela rakyat Palestin yang dizalimi.
“Keamanan hanya akan dapat dicapai apabila keadilan ditegakkan. Ini bukan lagi soal politik – ini soal hak hidup manusia yang dirampas dengan kejam,” katanya lagi.
Dalam pada, DMPM membuat tiga utama iaitu penjajahan Zionis mesti dihentikan sepenuhnya, sekatan terhadap Gaza ditamatkan segera dan pelaku jenayah perang mesti dibawa ke muka pengadilan antarabangsa.
Beliau turut menyeru seluruh masyarakat dunia tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi agar berdiri bersama rakyat Gaza dan menolak kekejaman yang sedang berlaku.
“Masyarakat antarabangsa mesti mendesak gencatan senjata menyeluruh, membuka laluan bantuan kemanusiaan dan menyokong usaha bantuan melalui saluran yang sah dan telus.
“Konflik Gaza hanya akan berakhir apabila keadilan ditegakkan. Dunia tidak akan aman selagi bumi Palestin terus menangis,” katanya.
Najihatussalehah turut menggesa agar seluruh pihak, pemimpin, masyarakat dan individu agar bersatu dalam doa dan tindakan demi satu suara Bersama untuk mengakhiri konflik di Gaza memulihkan kemanusiaan serta menegakkan keadilan. – MalaysiaGazette
















