Dua pekerja warga Bangladesh turut ditahan di lokasi serbuan.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan merampas 4,670 kilogram minyak masak dalam serbuan di sebuah stor, di sini, semalam.

Dua pekerja warga Bangladesh turut ditahan dalam operasi yang dijalankan bersama Pasukan Polis Cawangan Risik Batalion 2 PGA Kulim, Kedah pada jam 3.30 petang.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, sindiket berkenaan dikesan menjalankan kegiatan dengan memotong pek minyak masak bersubsidi dalam bungkusan polibeg 1 kilogram sebelum dipindahkan ke dalam tong industri berkapasiti 17 kilogram menggunakan peralatan khas yang ditemui di lokasi serbuan.

“Tindakan itu dipercayai bertujuan mengubah bentuk asal barang kawalan tersebut bagi tujuan penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran.

“Stor tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu tanpa sebarang dokumen lesen atau permit sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual seperti yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambah Jegan, hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 4,760 kilogram minyak masak paket, 510 tong kosong berkapasiti 17 kilogram dan lima tong kosong berkapasiti 200 liter yang dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak masak yang telah dipindahkan daripada bungkusan asal.

“Turut ditemui ialah beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan pemindahan, termasuk dua pam besi, satu pam plastik, dua corong plastik, dan dua gunting yang digunakan untuk memotong bungkusan minyak.

“Selain itu, kami turut merampas 510 kotak kosong dan sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barang kawalan tersebut, menjadikan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan sebanyak RM37,450,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast