KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN tidak wajar menjadi pentas pemutihan imej Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh.
Sebaliknya, menurut beliau, ASEAN seharusnya menjadi wadah memperkukuh keamanan dan keadilan serantau, bukan medan untuk membersihkan imej pemimpin dunia yang menyokong kezaliman terhadap umat manusia.
Sehubungan itu, tambahnya, kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara hujung bulan ini akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat dan masyarakat Islam serantau, terutama ketika Gaza terus diselubungi penderitaan akibat serangan berterusan rejim Zionis.
“Malaysia sebagai tuan rumah perlu berani menyatakan pendirian tegas bahawa negara ini tidak meraikan mana-mana tokoh yang terpalit dengan jenayah kemanusiaan dan penghinaan terhadap Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nuridah, Malaysia mesti kekal konsisten membela Palestin, seperti mana selama ini dikenali sebagai negara yang teguh mempertahankan isu Palestin di pentas antarabangsa.
Oleh itu, katanya, kehadiran Trump yang dikaitkan dengan dasar pro-Zionis akan mencemarkan imej Malaysia sebagai suara keadilan dunia Islam.
“Muslimat Pas menyeru agar Kerajaan Malaysia menyatakan bantahan rasmi dan tidak memberikan ruang khas kepada Trump dalam apa jua acara rasmi Persidangan ASEAN.
“Kehadiran beliau tidak membawa manfaat kepada keamanan serantau, sebaliknya boleh mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan rakyat dan negara jiran,” katanya.
Dalam masa sama, tambah beliau, kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN juga seolah-olah memberi ruang pengiktirafan kepada seorang tokoh yang bertanggungjawab atas penderitaan umat Islam di Palestin.
“Selama ini, Trump merupakan watak utama yang memberi sokongan kewangan dan ketenteraan tanpa batas kepada rejim Zionis, sekaligus menjadi pendorong kepada dasar penjajahan dan pembunuhan berterusan terhadap penduduk Gaza,” katanya. – MalaysiaGazette
















