SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) akan mengetengahkan ramai calon muka baharu terutama daalam kalangan anak muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sama, parti itu akan turut mengekalkan penyandang sedia ada yang menampilkan prestasi cemerlang sebagai wakil rakyat sebelum ini.
“Insya-Allah ramai muka baru dan banyak tokoh-tokoh muda yang akan diketengahkan selain daripada mengekalkan beberapa nama-nama yang berprestasi tinggi di dalam pilihan raya yang lalu.
“Dan juga di dalam menterjemahkan perkhidmatan mereka di kawasan yang mereka wakili,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Universiti Teknologi Mara Shah Alam di sini hari ini.
Ahmad Zahid menambah, BN Pusat juga sudah menerima senarai calon yang dikemukakan BN negeri itu dan ia sedang dalam penelitian.
Katanya, jumlah kerusi yang akan ditandingi BN secara rasmi dalam PRN Sabah akan diketahui pada hari penamaan calon.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pemakluman itu diterima daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya kelmarin.
Sebagaimana diperuntuk di bawah Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.
Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Selasa minggu depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting serta perkara lain berkaitan PRN Sabah ke-17.
Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ADUN yang dilantik.
Pada pilihan raya ke-16 2020, PRU DUN itu menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersaru Sabah (PBS) serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah apabila memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Sementara Parti Warisan pula, memperoleh 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.
GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) serta tiada penyertaan BN dan Pas dalam GRS. – MalaysiaGazette
















