Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melihat ratusan peserta mempersembahkan tarian zapin pada majlis menyambut tetamu sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia di Encore Melaka Theatre, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 26 SEPTEMBER 2025.

MELAKA – Pengumuman peruntukan lebih RM700 juta melalui pelbagai inisiatif sektor pelancongan kepada Melaka bukan sahaja menyuntik semangat industri pelancongan, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada pemain industri tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Madani dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Menurutnya sebagai negeri pelancongan yang terkenal dengan keunikan sejarah dan budaya, inisiatif itu akan menggandakan kedatangan pelancong sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan unggul negara.

“Pelbagai projek pembangunan yang diluluskan di bawah belanjawan itu bakal memberikan limpahan manfaat kepada rakyat Melaka khususnya dalam bidang infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan tenaga boleh baharu.

“Kerajaan Negeri Melaka amat berbesar hati dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang meluluskan pelbagai projek pembangunan penting di negeri ini,” katanya dalam kenyataannya malam ini.

Antara yang diumumkan termasuk jalan baharu dari Masjid Tanah ke Telok Gong, naik taraf jalan Sungai Udang ke Masjid Tanah, pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba.

Peserta membuat persembahan pada Perasmian Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di Kota Syahbandar, Melaka. Foto AIZAT ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2025.

Turut sama adalah dua projek naik taraf asrama di SMK Tinggi Perempuan Melaka dan Muzium Samudera Fasa 1 bagi memperkukuh sektor pendidikan, warisan dan kebudayaan negeri

“Selain itu adalah peruntukan bagi projek pertanian rock melon, kerang dan udang galah, selain melengkapkan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka dan penggantian paip usang sepanjang lebih 820 kilometer.

“Ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” tambahnya.

Selain itu, Ab Rauf berkata, pengumuman pembangunan ladang solar oleh UEM Lestra yang turut melibatkan Melaka bersama Segamat dan Selangor juga membuktikan komitmen kerajaan dalam memenuhi sasaran 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.

Gelagat peserta membuat persembahan pada majlis menyambut tetamu sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia di Encore Melaka Theatre, Melaka. Foto AIZAT ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2025.

“Ini juga selaras dengan aspirasi hijau dan pembangunan mampan negeri Melaka dan selain itu Melaka juga menyambut baik pelaksanaan projek pendidikan negeri.

“Antaranya seperti pembinaan Kompleks Sekolah Batu Berendam, SMK Rumbia, Kompleks Sekolah Anjung Gapam di Jasin dan tabika baharu di Kampung Lendu yang pastinya memberi manfaat besar kepada generasi muda negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, peruntukan untuk penyelenggaraan jalan persekutuan sebanyak RM2.5 bilion dan pemberian Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sebanyak RM5.6 bilion turut dapat dimanfaatkan.

“Ini juga dapat menambah baik jaringan jalan raya dan sistem saliran negeri bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast