JOHOR BAHRU – Cabaran pengguna kini semakin kompleks dalam era globalisasi dan digitalisasi, kata Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Yeo Kok Vui.
Menurut beliau, cabaran itu melibatkan isu kos sara hidup, keselamatan makanan, kawalan harga sehinggalah perlindungan data dan transaksi atas talian.
Justeru kerjasama antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri dan rakyat dalam memastikan hak pengguna terus terjamin perlu diperkukuh.
Jelasnya, kerjasama tersebut akan menjadi platform strategik untuk bersama-sama menangani cabaran tersebut.
Salah satunya kerjasama antara MTPN dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memberikan peranan penting.
“Saya yakin dengan adanya sokongan padu daripada KPDN bersama-sama kepimpinan MTPN, pelbagai inisiatif baharu dapat digerakkan termasuk pendidikan kepenggunaan, advokasi serta program kesedaran peringkat komuniti.
“Semua ini amat penting untuk membina masyarakat pengguna yang celik, berani bersuara dan mampu membuat pilihan yang bijak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Anugerah Pilihan Pengguna 2025 kali ke-20 di Taman Daya di sini malam tadi.
Turut hadir Ahli Majlis Penasihat MTPN, Prof Datuk Dr GP Doraisamy yang juga Setiausaha Agung Kehormat World Humanitarian Drive (WHD) serta dua Timbalan Presiden MTPN, Noorman Kamsani dan Masrudi Abdul Rahman.
Sementara itu, Kok Vui berkata, majlis anugerah itu bukan sahaja diraikan sebagai malam pengiktirafan tetapi menjadi pencetus inspirasi kepada lebih banyak syarikat untuk mencontohi budaya perniagaan yang bertanggungjawab sosial, mesra pengguna, serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Saya percaya, apabila pengguna diberdayakan dengan ilmu dan syarikat pula didorong dengan integriti maka kita akan dapat membina ekosistem kepenggunaan yang sihat, adil dan mampan untuk generasi masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Doraisamy berkata, penglibatan aktif masyarakat sivil seperti MTPN memainkan peranan penting dalam menyampaikan suara pengguna kepada kerajaan.
“Kita mahu pengguna bukan sekadar penerima dasar tetapi rakan strategik dalam membina negara yang lebih makmur,” katanya.- MalaysiaGazette
















