BATU PAHAT – Seorang warga emas yang kematian suami terharu menerima Bantuan Kasih Johor iaitu bantuan pertama diterimanya selepas bergelar ibu tunggal.
Shamsiah Abdul Hamid, 79, berkata, bantuan tersebut akan diguna untuk membeli keperluan dapur bagi meringan beban anak lelakinya yang tinggal bersama-samanya.
Menurutnya, dia kematian suami 26 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya merupakan seorang daripada 473 penerima i-pesona terdiri daripada ibu tunggal di Senggarang.
“Bantuan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk keperluan diri dan dalam masa sama boleh membeli barang-barang dapur tanpa perlu membebankan anak-anak.
“Alhamdulilah, terima kasih kepada kerajaan yang menyediakan bantuan ini apatah lagi ketika rakyat berhadapan dengan masalah kenaikan kos harga barang ketika ini.
“Walaupun ini sekadar pemberian sekali (one off) namun cukup besar maknanya kepada rakyat seperti kami,” katanya.
Shamsiah berkata demikian selepas menerima bantuan i-pesona melalui Bantuan Kasih Johor 2025 yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Yusla Ismail di Senggarang di sini hari ini.
Seramai 473 ibu tunggal yang menerima i-pesona masing-masing RM300 seorang manakala 182 penerima bantuan warga emas memperoleh RM200 seorang.
Seorang lagi penerima, Jaidah Sahir, 64, yang kematian suami empat tahun lalu akibat sakit tua dan tinggal bersama-sama anak perempuannya, turut menzahirkan rasa syukur dengan pemberian bantuan daripada kerajaan Johor itu.
“Semoga kerajaan ini terus maju bersama-sama perancangannya kerana dengan kemajuan itu akhirnya memberikan manfaat kepada seluruh rakyat di sini,” katanya.- MalaysiaGazette
















