Lapan minyak botol bersaiz lima kilogram yang dipercayai telah diisi dengan minyak peket bersubsidi.

MELAKA – Helah pemilik sebuah restoran meletakkan botol minyak masak belum dibuka di dapur terbongkar apabila serbuan pihak berkuasa menjumpai 34 peket satu kilogram bahan bersubsidi itu yang disorok di bilik khas tingkat satu premis.

Kelicikannya yang sekadar ‘mempamerkan’ bahan bersubidi itu sejak empat bulan lalu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dalam Ops Samar 5.0, Rabu lalu.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, serbuan terhadap restoran di Bukit Beruang itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kesalahan dilakukan pemilik restoran, wanita berusia 55 tahun.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin

“Ketika diperiksa, wanita itu mendakwa hanya menggunakan minyak masak botol komersial sambil menunjukkan dua botol minyak bersaiz lima kilogram (kg) yang belum dibuka di dapur bagi meyakinkan pegawai penguat kuasa.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut ditingkat atas menemukan bilik khas yang dihadang dengan kerusi menyimpan dua kotak mengandungi 34 minyak masak peket satu kilogram,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, turut dijumpai adalah beberapa peket minyak yang telah dibuka dan digantung pada penyangkut baju yang mengalirkannya ke dalam bekas minyak terbuka sebelum dipindahkan ke dalam botol lima kilogram.

“Di dalam bilik itu, terdapat 16 botol lima kg yang mana lapan daripadanya dipercayai telah diisi dengan minyak peket bersubsidi dan untuk kegunaan restoran bagi mengurangkan kos operasi.

Beberapa peket minyak yang telah dibuka dan digantung pada penyangkut baju yang mengalirkannya ke dalam bekas minyak terbuka sebelum dipindahkan ke dalam botol minyak komersial lima kilogram.

“Pemilik restoran juga gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen sah untuk menyimpan barangan kawalan berkenaan. bagi mengurangkan kos operasi,” tambahnya.

Semua barangan dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM324.70 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan serta menggunakan barang kawalan tanpa permit sah.

Jika disabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya .

Bagi kesalahan kali kedua pula, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara lima tahun, manakala bagi syarikat atau perbadanan, denda sehingga RM5 juta.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyeleweng atau menyalahgunakan barangan kawalan bersubsidi.

“Tindakan seperti ini menjejaskan hak pengguna sebenar yang layak menikmati subsidi dan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap dasar kerajaan membantu rakyat,” tambahnya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat mengenai aktiviti seumpama itu melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-aduan.kpdn.gov.my, atau talian bebas tol 1-800-886-800. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast