JOHOR BAHRU – Seorang jurujual wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di kilometer (KM) 25.8 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan pukul 11.10 malam ketika wanita tempatan berusia 20 tahun itu dalam perjalanan menghala ke Pasir Gudang.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan dan telah terjatuh. Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan telah terlanggar mangsa.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dalaman badan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, penunggang motosikal Y15 pula iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette
















